Tuesday 16 July 2013

PERATURAN AM MSSM

PERATURAN AM

PERATURAN 1 : PENGELOLAAN
Seluruh pengelolaan Pertandingan Permainan MSSM diserahkan kepada Majlis Sukan Sekolah Malaysia yang boleh juga menyerahkan kuasa pengelolaan pertandingan kepada mana-mana Majlis Sukan Sekolah Negeri atau satu Jawatankuasa Khas MSSM yang dipilih oleh Jawatankuasa Kerja MSSM.
PERATURAN 2 : UNDANG-UNDANG PERMAINAN
Undang-undang permainan antarabangsa yang berkuatkuasa semasa akan menjadi undang-undang rasmi pertandingan bagi peringkat umur 18 tahun dan ke bawah kecuali ada undang-undang khas yang yang menguasai pertandingan permainan MSSM.
Manakala bagi peringkat umur 12 tahun dan ke bawah undang-undang permainan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknik dan Pembangunan Sukan serta diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja MSSM akan menjadi undang-undang rasmi pertandingan.
PERATURAN 3 : KELAYAKAN
3.1
Peserta 
3.1.1
Kelayakan Am
  • Murid yang bersekolah sepenuh masa di sekolah rendah dan menengah serta sekolah swasta dan sekolah agensi kerajaan lain  adalah layak menyertai pertandingan permainan MSSM.
  • Penyertaan murid adalah tertakluk kepada had umur peserta (Peraturan 4).
  • Kejohanan peringkat MSSM hanya untuk warganegara Malaysia. Murid yang BUKAN warganegara Malaysia digalakkan mengambil bahagian di peringkat sekolah, daerah dan negeri sahaja.
  • Murid yang berumur lebih daripada 18 tahun tetapi kurang daripada 21 tahun boleh mengambil bahagian di peringkat sekolah, daerah, dan negeri sahaja.
  • Kelayakan mewakili negeri adalah mengikut daftar sekolah terkini seseorang murid  melainkan pelajar sekolah sukan dan akademi permainan kebangsaan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Murid-murid yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM Kementerian Pelajaran Malaysia tidak layak menyertai semua pertandingan  MSSM.
  • Murid-murid yang menerima surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Rendah dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan wajib disahkan pendaftaran oleh Pengetua/Penolong Kanan sekolah berkenaan.
3.1.2 
Murid Sekolah Swasta/Sekolah Agensi Kerajaan Lain
  • Sekolah  swasta / Sekolah Agensi Kerajaan lain yang dibenarkan bermaksud sekolah yang diluluskan pendaftarannya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan bergabung serta membayar sumbangan penuh (mengikut enrolmen sekolah) dengan MSSN. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Setiausaha Agung MSSN untuk membekalkan satu senarai sekolah swasta yang bergabung dengan MSSN masing-masing kepada Urus Setia MSSM pada atau sebelum 15 Februari setiap tahun pertandingan dan senarai tersebut perlu dikemaskinikan dari semasa ke semasa.
  • Murid sekolah swasta perlu menunjukkan bukti ia sedang belajar sepenuh masa di sekolah berkenaan supaya layak bertanding dalam kejohanan MSSM.
  • Murid yang hendak menyertai kejohanan MSSM hendaklah didaftarkan di Institusi Pendidikan swasta selama 3 bulan sebelum tarikh kejohanan  dan hadir sekurang- kurangnya 75% hari persekolahan. 
  • Murid-murid sekolah swasta lepasan Tingkatan Lima yang menyambung pelajaran di Tingkatan Enam Rendah atau setara (seperti Senior Middle Three) layak menyertai pertandingan permainan MSSM dengan syarat murid ini berdaftar untuk Tingkatan 6 dan hanya menjadi murid Tingkatan 6 Bawah mengikut tarikh pendaftaran untuk murid Tingkatan 6 Bawah di sekolah Kerajaan.
  • Murid yang berdaftar dengan sekolah swasta selepas mendapat keputusan peperiksaan SPM Kementerian Pelajaran Malaysia layak menyertai pertandingan permainan MSSM dengan syarat murid ini berdaftar untuk Tingkatan 6 dan hanya menjadi murid Tingkatan 6 Bawah mengikut tarikh pendaftaran untuk murid Tingkatan 6 Bawah di sekolah Kerajaan.
3.1.3
Murid Sekolah Sukan Malaysia dan Akademi Permainan Kebangsaan.
  • Murid yang sedang belajar di Sekolah Sukan Malaysia dan di Akademi  Permainan Kebangsaan hendaklah mewakili negeri asal tempat ia bersekolah (sekolah terakhir) di dalam pertandingan MSSM.
  • Jika khidmat murid berkenaan tidak diperlukan oleh negeri asalnya maka ia dibenarkan mewakili negeri lain dengan syarat MSSN berkenaan mendapatkan kebenaran bertulis daripada MSSN asal pemain.
  • Pemain yang mewakili MSSN lain tanpa mendapat kebenaran daripada MSSN asalnya tidak dibenarkan bertanding di Kejohanan MSSM dan tindakan disiplin hendaklah diambil terhadap MSSN yang bersalah oleh Urus Setia MSSM.
  • Murid yang memasuki semula sekolah harian dari Sekolah Sukan Malaysia dan Akademi Permainan Kebangsaan hendaklah mewakil negeri di mana sekolah terkini murid berkenaan sedang belajar. (Rujuk Peraturan 3.1.1.5)
  • Pelepasan murid Sekolah Sukan Malaysia mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan menjadi tanggungjwab pegawai MSSN mengambil dan menghantar balik serta mengutamakan keselamatan dan kebajikan peserta.
3.1.4
Murid Pra Universiti di Sekolah Sukan Malaysia
  • Murid Pra Universiti di Sekolah Sukan Malaysia tidak boleh mewakili MSSN dalam Kejohanan MSSM.

  • Murid tersebut boleh dipertimbangkan jika layak untuk mewakili MSSM dalam Kejohanan peringkat sekolah-Sekolah Asean, Asia dan Antarabangsa yang disertai oleh MSSM
3.2
Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)
MSSN adalah layak mengambil bahagian dalam pertandingan permainan MSSM.  Setiap negeri hanya berhak menghantar satu pasukan sahaja mengikut kumpulan umur dalam sesuatu pertandingan permainan melainkan ada sesuatu ketetapan khas.

PERATURAN 4 : HAD UMUR PESERTA  
4.1
Had umur peserta-peserta bagi pertandingan permainan MSSM adalah seperti berikut:
  • 18 tahun dan ke bawah
  • 15 tahun dan ke bawah
  • 12 tahun dan ke bawah
  • Penyesuaian kepada kumpulan umur yang lain dibenarkan jika permainan itu perlu mengikut Peraturan Pertandingan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sukan Antarabangsa.  MSSM juga boleh mengelola pertandingan mengikut kriteria lain untuk sesuatu kejohanan
4.2
Kiraan umur adalah pada 1 Januari tahun semasa pertandingan.
4.3
Bagi peserta yang terbukti lewat pendaftaran kelahiran pada peringkat umur yang disertainya tidak layak menyertai pertandingan permainan MSSM.
4.4
Seseorang peserta dibenarkan menyertai pertandingan dalam satu kumpulan umur sahaja bagi satu jenis pertandingan dalam masa yang sama.
4.5
Semua peserta kecuali peringkat umur 12 tahun dan ke bawah hendaklah bersedia menunjukkan kad pengenalan asal kepada pengelola. Seseorang peserta yang hilang kad pengenalan mesti mempunyai dokumen pendaftaran KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 dari Jabatan Pendaftaran Negara.
4.6
Semua peserta peringkat umur 12 tahun dan ke bawah hendaklah bersedia menunjukkan salinan sijil kelahiran / MyKid yang disahkan oleh Pengetua / Guru Besar / Penolong Kanan sekolah peserta berkenaan.
4.7
Semua peserta hendaklah melengkapkan Borang Pendaftaran Individu (Borang R 01 / M 01) secara individu berserta gambar ukuran pasport dengan menyertakan salinan kad pengenalan / sijil kelahiran yang disahkan oleh Pengetua / Guru Besar / Penolong Kanan Sekolah peserta berkenaan dengan pengesahan terakhir oleh Pengurus Pasukan serta Setiausaha Agung MSSN masing-masing.

PERATURAN 5  :  PENDAFTARAN
5.1
Setiap MSSN hanya dibenarkan menghantar bilangan pegawai dan peserta sebagaimana yang telah ditetapkan ( Rujuk Lampiran A )
5.2
Pasukan yang mempunyai peserta perempuan hendaklah diiringi oleh seorang atau lebih pegawai wanita.
5.3
Pendaftaran pegawai dan peserta dalam borang pendaftaran yang tertentu hendaklah disampaikan kepada pihak Jawatankuasa Pengelola sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh pertandingan dimulakan. Sebarang pindaan diborang pendaftaran tersebut hendaklah ditandatangani oleh Yang DiPertua / Setiausaha Agung MSSN dengan cop rasmi.
5.4
Jawatankuasa Pengelola akan menyemak dan mengesahkan kelayakan peserta semasa Mesyuarat Pengurus Pasukan berdasarkan butiran dalam Borang Pendaftaran Individu (R01, M 01) serta  dokumen sokongan  tertentu yang lengkap (Lampiran B).

PERATURAN 6 : PENGADIL / HAKIM
6.1
Setiap MSSN dikehendaki menghantar pengadil / hakim bertauliah yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran sepertimana bilangan yang ditetapkan. (Rujuk Lampiran A)
6.1.1
Sekirannya MSSN yang mengelolakan pertandingan MSSM memerlukan khidmat Pengadil / Hakim selain daripada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran, kebenaran bertulis hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada Urus Setia MSSM .
6.2
Jawatankuasa Pengelola Pertandingan akan menyediakan elaun bertugas dan kemudahan yang bersesuaian kepada Pengadil/Hakim semasa berada di sebarang kejohanan kelolaan MSSM.
6.3
Surat lantikan pengadil akan dikeluarkan oleh Urus Setia MSSM manakala tuntutan perjalanan dan makan pengadil/hakim ke tempat pertandingan akan ditanggung oleh MSSN.

PERATURAN 7 : PENGERUSI TEKNIK PERMAINAN MSSN
7.1
Semua MSSN dikehendaki menghantar Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan  MSSN / Wakil masing-masing ke Mesyuarat Pengerusi Teknik Permainan berkenaan yang diadakan sebelum Kejohanan Permainan MSSM walaupun tidak menyertai kejohanan tersebut.
7.2
Jawatankuasa Pengelola Pertandingan MSSM hendaklah menyediakan tempat mesyuarat dan keperluan mesyuarat.

PERATURAN 8 :  PEGAWAI PASUKAN
8.1
Pegawai Pasukan hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Pelajaran.  Jika sekiranya sesuatu pasukan menggunakan khidmat pegawai yang bukan daripada pegawai perkhidmatan pelajaran khasnya jurulatih (pegawai luar), mereka boleh mengikuti pasukan itu tetapi tidak boleh disenaraikan dalam borang pendaftaran pasukan.  Pegawai tersebut hanya bertaraf penonton atau pemerhati sahaja.  Segala tunjuk ajar hendaklah dibuat di luar permainan.
8.2
Semua pegawai pasukan (Ketua Kontinjen, Pengurus Pasukan dan Penolong, Jurulatih dan pegawai-pegawai lain) hendaklah sentiasa memelihara dan mematuhi etika sebagai seorang pegawai perkhidmatan pelajaran bersesuaian dengan penjawat awam, berimej bersih dan menunjukkan tindak-tanduk serta tauladan yang baik semasa menjalankan tugas.
8.3
Semua Pengurus / Pegawai Pasukan MSSN hendaklah hadir dan memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pengelola terutama dalam majlis rasmi kejohanan seperti pembukaan rasmi,  taklimat kejohanan, jamuan rasmi, mesyuarat-mesyuarat dan majlis penyampaian hadiah sebagaimana  yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola.
8.4
Pengurus / Pegawai Pasukan MSSN adalah bertanggungjawab dengan tidak meninggalkan kejohanan sebelum tamat dan mengaturkan perjalanan pasukan pada waktu siang sahaja serta menjaga keselamatan harta benda serta kerosakan semasa menginap di tempat penginapan.

PERATURAN 9  :   TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA PENGELOLA
Selain daripada kerja-kerja tertentu mengikut Perlembagaan Majlis, tugas-tugas Jawatankuasa Pengelola adalah seperti berikut :
9.1
Menentukan tempat, tarikh dan masa kejohanan setelah berbincang dengan Setiausaha Agung MSSM.  Sebolehnya kejohanan hendaklah diadakan semasa cuti penggal persekolahan.
9.2
Melantik pegawai-pegawai bertauliah yang diperlukan.
9.3
Menyediakan peralatan dan persediaan yang diperlukan seperti padang, gelanggang, tempat penginapan, kenderaan dalam bandar, makanan dan lain-lain yang berkaitan dan memberitahu kepada semua negeri nama dan jenis alatan sekurang-kurangnya sebulan sebelum pertandingan dimulakan.
9.4
Jawatankuasa Pengelola tidak mengenakan sebarang deposit bayaran penginapan dan segala kerosakan akan dituntut oleh Jawatankuasa Pengelola kepada negeri yang disahkan atau terbukti melakukan kerosakan tersebut.
9.5
Menjemput semua Setiausaha Agung / wakil MSSN hadir untuk menyaksikan cabutan undi.
9.6
Menjemput Ketua Unit MSSM atau Penyelaras Permainan MSSM dan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan MSSM hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengelolaan dan Teknikal serta mengendalikan proses cabutan undi.
9.7
Mengedarkan notis mesyuarat Jawatankuasa Pengelola dan salinan minit mesyuarat kepada :-
  • Setiausaha Agung MSSM
  • Pengerusi Jawatankuasa Teknik dan Pembangunan MSSM
  • Penyelaras Permainan MSSM yang berkenaan.
  • Pengerusi Teknik Permainan MSSM yang berkenaan.
  •  
9.8
Mengedarkan segala surat pekeliling dan keputusan rasmi kepada :-
  • Setiausaha Agung MSSM                                     ( 3 salinan )
  • Setiausaha Agung MSSN                                      ( 3 salinan )
  • Yang DiPertua MSSN                                            ( 1 salinan )
  • Pengerusi Jawatankuasa Teknik MSSM           ( 1 salinan )
  • Penyelaras Permainan MSSM berkenaan         ( 1 salinan )
  • Pengerusi Teknik Permainan berkenaan          ( 1 salinan )
9.9
Segala Keputusan Rasmi kejohanan hendaklah dimaklumkan kepada urus setia MSSM   secara bertulis atau lisan melalui Penyelaras Permainan sebaik kejohanan tamat atau sehari selepas kejohanan untuk makluman urusetia MSSM.
9.10
Laporan Pengelolaan beserta dengan akaun perbelanjaan hendaklah dihantar secara rasmi menggunakan format tertentu dalam masa 1 bulan selepas tamat sesuatu kejohanan.

PERATURAN 10 :  SISTEM PERTANDINGAN
Sistem pertandingan dijalankan secara liga dan/atau cara kalah mati seperti berikut:-
10.1
Cara Liga Empat Kumpulan ( A, B, C dan D )

10.1.1 
Pusingan Pertama
  • Sekiranya 12 atau  lebih  pasukan  mengambil  bahagian, mereka hendaklah dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu A, B, C dan D. Pertandingan akan dijalankan secara liga.
  • Johan, Naib Johan, Tempat  Ketiga  dan Keempat dalam pertandingan  tahun  lalu akan ditempatkan dalam kumpulan seperti berikut :      

         Johan          -   Kumpulan A
         Naib Johan -    Kumpulan B
         Ketiga         -   Kumpulan C
         Keempat     -   Kumpulan D                                                                       
  • Pasukan-pasukan lain akan ditempatkan dalam empat kumpulan tersebut dengan cabutan undi mengikut undang-undang permainan berkenaan.
  • Sekiranya pasukan yang diutamakan (seeded) tidak mengambil bahagian, maka pasukan terbaik berikutnya hendaklah dipertimbangkan kedudukannya. 

10.1.2
Pusingan Kedua (Suku Akhir)
  • Pemenang 1 dan Pemenang 2  dalam  setiap  kumpulan akan masuk  ke pusingan  suku  akhir  dan   pertandingan  akan dijalankan secara kalah mati.
  • Perlawanan adalah ditetapkan sebagaimana berikut :
  • Undian bagi 4 pasukan Pemenang Pertama Kumpulan akan didahulukan untuk ditempatkan di Kedudukan 1,3,5 dan 7.
  • Undian bagi 2 pasukan Pemenang Kedua Kumpulan untuk ditempatkan di Kedudukan 2 atau 4, jika Pasukan Pemenang Pertama Kumpulannya telah diundi dan ditempatkan di kedudukan 5 atau 7. Manakala 2 Pasukan Pemenang Kedua yang lain akan diundi juga untuk ditempatkan di kedudukan 6 atau 8.
  • Pasukan-pasukan yang menang pada perlawanan separuh akhir akan memasuki Perlawanan Akhir bagi menentukan Johan dan Naib Johan, sementara pasukan-pasukan yang kalah akan bermain untuk menentukan tempat ketiga dan keempat.

10.2

Cara Liga Tiga Kumpulan

10.2.1
Pusingan Pertama
  • Sekiranya 9 hingga 11 pasukan mengambil bahagian, maka mereka hendaklah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C. Pertandingan akan dijalankan secara liga.
  • Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga dalam pertandingan tahun lalu akan ditempatkan dalam kumpulan seperti berikut:    
          Kumpulan A  -  Johan  tahun lalu
          Kumpulan B  -  Naib Johan tahun lalu
          Kumpulan C  -  Tempat Ketiga tahun lalu       
  • Pasukan-pasukan lain akan ditempatkan dalam tiga kumpulan tersebut melalui        undian.
  • Sekiranya pasukan yang diutamakan (seeded) tidak mengambil bahagian maka pasukan terbaik berikutnya hendaklah dipertimbangkan kedudukannya. 
10.2.2
 Pusingan Kedua
  • Johan dan Naib Johan dalam setiap kumpulan akan ditempatkan ke dalam kumpulan X dan Y dengan mengadakan undian.
  • Undian akan dibuat selepas sahaja tamat pusingan pertama.
  • Dari 3 Johan, satu akan ditempatkan ke kumpulan X dan 2 ditempatkan ke kumpulan Y.
  • Naib Johan setiap kumpulan akan ditempatkan di kumpulan lain dari Johan kumpulannya.
10.2.2
 Pusingan Separuh Akhir
  • Johan Kumpulan X akan melawan Naib Johan Kumpulan Y dan Johan Kumpulan Y akan melawan Naib Johan Kumpulan X.
  • Pertandingan akan dijalankan secara kalah mati.
10.2.3
Pusingan Akhir
  • Pasukan-pasukan yang menang pada perlawanan separuh akhir akan memasuki Perlawanan Akhir bagi menentukan Johan dan Naib Johan, sementara pasukan-pasukan yang kalah (bagi sukan tertentu sahaja) akan bermain untuk menentukan tempat ketiga dan keempat. 

10.3

Cara Liga 2 kumpulan.

10.3.1
Pusingan Pertama 
  • Sekiranya 6 hingga 8 pasukan mengambil bahagian, pasukan hendaklah      dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.
  • Johan dan Tempat Keempat dalam pertandingan tahun lalu akan ditempatkan dalam Kumpulan A dan Naib Johan serta tempat ketiga ditempatkan dalam kumpulan B
  • Pasukan-pasukan lain akan ditempatkan dalam 2 kumpulan dengan cabutan undi.
  • Sekiranya pasukan diutamakan (seeded) tidak mengambil bahagian maka pasukan terbaik berikutnya hendaklah dipertimbangkan kedudukannya.

10.3.2
Pusingan kedua
  • Johan Kumpulan A akan melawan Naib Johan Kumpulan B dan Johan Kumpulan B akan melawan Naib Johan Kumpulan A.
  • Pertandingan akan dijalankan secara kalah mati.

10.3.3
Pusingan Akhir   
  • Johan Kumpulan A atau Naib Johan kumpulan B akan melawan Johan Kumpulan B   atau Naib Johan Kumpulan A untuk menentukan Johan dan Naib Johan
  • Pasukan kalah didalam kedua-dua perlawanan di atas akan menentukan tempat ketiga dan keempat.

10.4

Cara Liga Satu Kumpulan
10.4.1
Sekiranya empat hingga lima pasukan mengambil bahagian,  pertandingan akan dijalankan secara liga satu pusingan.  Pasukan yang mendapat mata tertinggi akan diisytiharkan sebagai JOHAN.
10.4.2
Sekiranya terdapat tiga atau kurang pasukan yang mengambil bahagian pertandingan tidak akan dilangsungkan.

PERATURAN 11 : MENARIK DIRI DAN MENYERAH KALAH
11.1
Pasukan/Peserta yang telah mengesahkan persetujuan mengambil bahagian dalam sesuatu kejohanan tidak dibenarkan menarik diri. Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada pasukan tersebut sekiranya melanggar peraturan ini.
11.2
Sekiranya ada pasukan/peserta menarik diri atau menyerah kalah dengan sengaja daripada pertandingan, semua keputusan pertandingan yang dimainkan oleh pasukan/peserta itu akan dibatalkan.  Pasukan tersebut tidak dibenarkan menyertai perlawanan seterusnya dan tindakan tatatertib akan diambil ke atas pasukan yang berkenaan.

PERATURAN 12 :  BANTAHAN
12.1
Segala bantahan hendaklah dibuat secara bertulis.
12.2
Segala masalah berkaitan dengan kelayakan (status) seseorang peserta atau sesuatu perlawanan yang tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan sebelum pertandingan bermula, maka peserta/pasukan tersebut boleh mengambil bahagian di bawah bantahan (under protest) dan perkara tersebut hendaklah diselesaikan 1 jam selepas menerima bantahan rasmi.
12.3
Bantahan berhubung dengan permainan dalam acara-acara yang sedang dijalankan hendaklah dilakukan dengan serta merta dan tidak lewat daripada :
  • Lima belas (15)  minit setelah keputusan rasmi diumumkan bagi acara pusingan awal
  • Tiga puluh (30) minit setelah keputusan rasmi diumumkan bagi acara peringkat akhir. Walau bagaimanapun tempoh penyerahan dan penyelesaian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang permainan berkenaan.
12.4
Semua bantahan acara individu hendaklah disertakan dengan wang pertaruhan bagi acara individu sebanyak RM200.00 (Ringgit : Dua Ratus sahaja) dan acara berpasukan RM300.00 (Ringgit : Tiga Ratus sahaja). Wang pertaruhan tidak akan dikembalikan sekiranya bantahan tidak berasas.
12.5
Keputusan Jawatankuasa Bantahan akan dibuat secara bertulis serta dimaklumkan kepada yang berkenaan dan keputusannya adalah muktamad.
12.6
Keanggotaan Jawatankuasa Bantahan yang akan bersidang terdiri daripada:
  • Setiausaha Agung MSSN Pengelola
  • Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan
  • Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan MSSM
  • Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan MSSN Pengelola
  • 3 orang Pengurus Pasukan MSSN yang berdaftar dan tidak terlibat dengan bantahan/kes tersebut.

PERATURAN 13 :  JURI RAYUAN
13.1
Juri Rayuan hendaklah terdiri daripada 5 orang (minimum) atau 7 orang (maksimum) melainkan bagi Balapan dan Padang (Olahraga) dan Akuatik.
13.1.1
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola / wakilnya
13.1.2
Penyelaras Permainan MSSM
13.1.4
5 orang Pengurus Pasukan MSSN yang berdaftar yang tidak terlibat dalam Jawatankuasa Bantahan
13.1.5
Setiausaha J/K Pengelola Kejohanan - Ex-Officio


13.2


Juri Rayuan bertanggungjawab untuk :
13.2.1
Mengambil tindakan mengenai disiplin pelajar, guru dan pegawai kejohanan yang berkenaan bagi semua perkara kejohanan dijalankan seperti berikut:
  • Memberi amaran
  • Menggantung penyertaan bagi jangka masa tertentu
  • Menyingkirkan daripada keseluruhan kejohanan
  • Mengarahkan pemain dihantar pulang
  • Menghantar laporan kepada MSSN berkenaan supaya mengambil   tindakan tatatertib sejajar dengan tindakan disiplin mengikut hukuman yang    digunapakai oleh Persatuan Sukan Kebangsaan.
13.2.2
Bertanggungjawab membuat pelaporan mengenai peristiwa yang telah berlaku kepada urusetia MSSM secara lisan seberapa segera yang boleh dan secara bertulis selewat-lewatnya 14 hari selepas tamat kejohanan dengan membuat cadangan yang wajar untuk tindakan selanjutnya.
13.2.3  
Pasukan, pegawai atau peserta yang digantung oleh sekolah, MSSD, MSSN atau MSSM kerana dikenakan tindakan tatatertib hendaklah dilaporkan kepada Persatuan Permainan yang berkenaan.
13.3     
Keputusan Juri Rayuan akan dibuat secara bertulis serta dimaklumkan kepada yang berkenaan termasuk Lembaga Tatatertib dan keputusannya adalah muktamad.

PERATURAN 14 : LEMBAGA TATATERTIB
14.1
Lembaga ini terdiri daripada
14.1.1  
Pengarah BS (Setiausaha Agung MSSM) atau wakilnya
14.1.2
Pengerusi Jawatankuasa Teknik & Pembangunan MSSM atau wakilnya.
14.1.3
Yang DiPertua MSSN Pengelola atau wakilnya. 3 orang Setiausaha Agung MSSN yang tidak terlibat dengan kes tersebut.
14.1.4
Setiausaha Jawatan Kuasa Pengelola   –  Ex-Officio.
14.2
Lembaga ini bertanggungjawab untuk mengambil maklum keputusan Juri Rayuan dan membuat  keputusan untuk mengenakan tindakan selanjutnya, jika perlu.

PERATURAN 15 : MAJLIS RASMI SEMPENA KEJOHANAN
15.1
Semua pegawai dan peserta pasukan MSSN yang menyertai pertandingan permainan MSSM hendaklah menentukan semua pesertanya menghadiri :  
  • Majlis Pembukaan Rasmi
  • Jamuan Rasmi
  • Taklimat dan mesyuarat
  • Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian hadiah.   
15.2
Jika terdapat MSSN yang tidak mematuhi peraturan ini tanpa sebab munasabah, tindakan tatatertib boleh diambil. Pengelola hendaklah memaklumkan kepada urus setia MSSM serta Pengarah Pelajaran Negeri berkenaan supaya tindakan diambil terhadap pengurusan pasukan.
PERATURAN 16 : KESELAMATAN
16.1
Semua pegawai dan peserta MSSN yang menyertai kejohanan MSSM hendaklah dilindungi insurans.
16.2
Jawatankuasa Pengelola tidak bertanggungjawab di atas kemalangan, kematian, kecacatan anggota, kehilangan anggota badan/harta benda atau sebarang kecederaan lain berlaku.
16.3
Jawatankuasa Pengelola sentiasa memberikan segala penerangan dan akan mengambil langkah-langkah keselamatan dan pengawasan yang diperlukan sepanjang masa kejohanan tesebut.
  • Semasa perjalanan pergi dan balik
  • Semasa kejohanan dijalankan
  • Di dalam dan di luar kawasan venue
  • Di tempat-tempat penginapan
Walaubagaimanapun pihak pengelola kejohanan akan berusaha untuk mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan peserta dan pegawai terjamin setakat mana yang munasabah.
16.4
Sebarang tindakan mahkamah tidak boleh diambil ke atas Jawatankuasa Pengelola Pertandingan MSSM berhubung dengan kejohanan yang diadakan.

PERATURAN 17 : PENYALAHGUNAAN DADAH
17.1
Penggunaan dadah yang tidak dibenarkan seperti penyalahgunaan dadah merbahaya adalah diharamkan.

PERATURAN 18 : KENYATAAN AKHBAR
18.1
Semua pegawai atau peserta yang menyertai Kejohanan MSSM dilarang membuat sebarang kenyataan akhbar / media elektronik, cetak kecuali dengan kebenaran.
18.2
Kenyataan akhbar yang dibuat oleh peserta hendaklah diiringi oleh pegawai pasukan.

PERATURAN 19  : PINDAAN DAN HAK JAWATANKUASA PENGELOLA
19.1
Semua peraturan yang dinyatakan di atas mesti dipatuhi dan dibaca secara bersama. Jika ada dinyatakan perkara-perkara lain dalam undang-undang permainan tersebut hendaklah juga dipatuhi.
19.2
Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam Peraturan Am ini dan Peraturan Permainan berkenaan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengelola Kejohanan yang berkenaan dan keputusannya adalah muktamad.
LAMPIRAN BERSAMA PERATURAN AM MSSM 
Lampiran A:
Pecahan Bilangan Pegawai Kontinjen MSS Negeri (Bilangan pengadil untuk Acara Merentas Desa Rujuk lampiran berkenaan)
Lampiran B:
Dokumen Sokongan Yang Perlu Diserah Bersama Borang R 01 & M 01 ( Perkara 1.4) Rujuk lampiran berkenaan
Borang R01 & M01 : Borang Pendaftaran Individu
Borang R02 & M02 : Borang Pendaftaran Pasukan


Lampiran B


DOKUMEN SOKONGAN PENDAFTARAN ATLET PERLU DISERAH BERSAMA BORANG R 01 DAN M 01
(Peserta tidak layak mengambil bahagian dalam Kejohanan MSSM sekiranya Borang R01 / M 01 tidak lengkap maklumatnya selepas tamatnya Mesyuarat Pengurus Pasukan )
1.
SEKOLAH HARIAN
1.1
Murid Sekolah Rendah (Pemain berumur 12 tahun dan ke bawah)
  • Salinan sijil kelahiran yang telah disahkan oleh Guru Besar atau Penolong Kanan sekolah berkenaan
1.2
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 15 tahun dan ke bawah)
  • Kad pengenalan asal, atau
  • Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara
1.3
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 18 tahun dan ke bawah)
  • Kad pengenalan asal, atau
  • Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara. DAN
  • Salinan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah yang telah disahkan oleh Pengetua/Penolong Kanan sekolah berkenaan
  • Salinan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah serta salinan keputusan peperiksaan akhir tahun Tingkatan Enam Bawah (sekiranya murid Tingkatan Enam Atas masih layak) yang telah disahkan oleh Pengetua/Penolong Kanan sekolah berkenaan
 
2.

SEKOLAH SWASTA / AGENSI KERAJAAN LAIN
2.1
Murid Sekolah Rendah (Pemain berumur 12 tahun dan ke bawah)
  • Salinan surat gabungan dengan MSSN berkenaan DAN
  • Salinan sijil kelahiran yang telah disahkan oleh Pengetua/Guru Besar atau Penolong Kanan sekolah berkenaan
2.2
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 15 tahun dan ke bawah)
  • Salinan surat gabungan dengan MSSN berkenaan DAN
  • Kad pengenalan asal, atau
  • Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara.
2.3
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 18 tahun dan ke bawah)
  • Salinan surat gabungan dengan MSSN berkenaan DAN
  • Kad pengenalan asal, atau Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara DAN
  • Salinan surat pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah yang telah disahkan oleh Pengetua/Penolong Kanan sekolah berkenaan
  • Salinan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah serta salinan keputusan peperiksaan akhir tahun Tingkatan Enam Bawah (sekiranya murid Tingkatan Enam Atas masih layak) yang telah disahkan oleh Pengetua/Penolong Kanan sekolah berkenaan 

3.

SEKOLAH SUKAN MALAYSIA / AKADEMI PERMAINAN KEBANGSAAN

Surat pengesahan pelepasan daripada Sekolah Sukan Malaysia / Akademi Permainan Kebangsaan untuk pelajar mewakili MSSN.
3.1
Murid Sekolah Rendah (Pemain berumur 12 tahun dan ke bawah)
  • Salinan sijil kelahiran yang telah disahkan oleh Guru Besar atau Penolong Kanan sekolah berkenaan
3.2
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 15 tahun dan ke bawah)
  • Kad pengenalan asal, atau
  • Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara.
3.3
Murid Sekolah Menengah (Pemain berumur 18 tahun dan ke bawah)
  • Kad pengenalan asal, atau
  • Dokumen KPPK 1/9 atau KPPK 1/11 asal dari Jabatan Pendaftaran Negara

No comments:

Post a Comment