Tuesday, 23 July 2013

Definisi dan Konsep Pendidikan Jasmani

Pengenalan :

Pendidikan melalui jasmani di mana banyak daripada objektif pendidikan dicapai menerusi aktiviti-aktiviti jasmani yang melibatkan otot-otot dan sendi. Ia merupakan program kegiatan fizikal yang berpusatkan sekolah di mana kemahiran dalam sukan, tarian dan latihan lazimnya diajar dan dilatih. Ada pula definisi yang mengatakan pendidikan jasmani meliputi aktiviti-aktiviti tersebut yang bukan berpusatkan sekolah, misalnya yang diadakan oleh pusat komuniti, persatuan belia dan sebagainya. Komponen utamanya adalah aktiviti-aktiviti tertentu yang direka untuk pembelajaran.

Namun secara menyeluruh Pendidikan Jasmani adalah proses pendidikan yang memanfaatkan aktiviti jasmani yang direncanakan secara sistematik bertujuan untuk mengembangkan dan meningkatkan individu secara organik, neuromuskuler, perseptual, kognitif, dan emosional, dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan. Pada dasarnya pendidikan jasmani merupakan bahagian integral dari sistem pendidikan secara keseluruhan. Bertujuan untuk mengembangkan kesihatan, kesegaran jasmani, penampilan berfikir secara kreatif dan kritis, stabiliti emosi, keterampilan dalam bersosial, tindakan dan tingkah laku moral melalui aktiviti jasmani.

Pettior (1999) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut seharusnya dapat meningkatkan pembangunan dan penguasaan kemahiran motor, kecergasan dan pengetahuan berasaskan kesihatan dalam menjadi aktif dan mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal.

Pendidikan Jasmani meliputi satu bidang yang sangat luas dan tidak hanya terbatas kepada pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran semata-mata yang diperoleh daripada kegiatan di padang sekolah sahaja. Tetapi boleh dikatakan bahawa kegiatan yang tersusun dan melibatkan usaha jasmani dan mempunyai unsur-unsur pendidikan dapat digolongkan dalam bidang Pendidikan Jasmani.

Fokus Pendidikan Jasmani tidak hanya tertumpu pada aktiviti fizikal tanpa melibatkan sebarang penglibatan emosi dan sosial. Dalam memenuhi perkembangan naluri kanak-kanak yang suka dengan keseronokan maka pendekatan permainan yang dikembangkan oleh Bunker and Thorpe (1982) meletakkan murid berada dalam situasi permainan yang sebenar yang mana taktik, membuat keputusan, penyelesaian masalah dan kemahiran turut dikembangkan dalam masa yang sama. Banyak kajian yang berkaitan turut dikembangkan antaranya ialah ‘Game Sense’ (den Duyn, 1997), ‘Games for Understanding’ (Bunker & Thorpe, 1982), ‘Play Practice’ (Launder, 2001) dan ‘Games Concept Approach’ (Wright, Fry, McNeil, Tan, Tan & Schemp, 2001, cited in Light 2003).

Oleh itu, Pendidikan Jasmani seharusnya membekalkan ruang untuk membentuk “kanak-kanak” yang mantap secara menyeluruh (whole child) yang mengambil kira pembangunan aspek-aspek psikomotor, kognitif dan afektif.
 
copy from http://notapendidikanjasmani.blogspot.com

No comments:

Post a Comment